Working title: NASI, KICAP DAN TELUR GORENG
Hari ini hujan, maka aku terkandas di pejabat. Bulan November sudah pun tiba dan macam biasa aku menjebakkan diri aku untuk menyertai Nanowrimo. Nanti la aku cerita pasal aktiviti ini, tapi secara amnya ia adalah mengenai projek penulisan 50000 patah perkataan sepanjang bulan November sahaja. Walau apa pun cerita kau mahu pun bahasa yang kau guna, objektifnya ialah menghasilkan 50000 patah perkataan. Aku masuk kerana aku mahukan suatu bentuk penulisan yang gigih. Jika aku tak berjaya pun tak apa kerana bukan ada insentif besar pun jika aku dapat habiskan. Paling-paling pun kepuasan kerana berjaya mencapai objektif.
Jika dilihat dengan mata kasar, aku sebenarnya hampir tiada masa untuk aktiviti remeh seperti ini. Aku hanya ada masa untuk menjadi ibu, isteri dan pekerja di pejabat. Namun aku perlukan suatu ruang escapism yang mana hanya ada aku dan karya aku sahaja. Lagi pun ia cuma melibatkan sebulan sahaja. Maka aku yakin aku akan berjaya kali ini. Aku cuma perlu membuang satu aktiviti lain demi menjayakan Nanowrimo ini. Aku rasa aku akan hindari aktiviti melayari Internet sepanjang November ini. Mungkin itu caranya. Sebagai pelayar Internet tegar aku habiskan lebih kurang 5 jam yang padu menghadap Internet sahaja, termasuklah memuat naik video, mengemaskini laman web dan mencari info mengenai program yang dimuat naik.
Demi memastikan 50000 perkataan itu wujud secara harmoni, aku harus pastikan aku ada objektif kukuh. Maka, pertama sekali aku perlu memikirkan topik. Perkara pertama yang terlintas di minda aku ialah pastinya untuk cuba menulis mengenai sesuatu yang aku tahu. Semestinya bukan perkara yang tahu, ia mestilah perkara yang aku pakar. Kepakaran itu tak semestinya harus ada kearifan yang boleh dikira dengan kayu pengukur, sekadar aku boleh buat dengan lancar maka aku anggap itu kepakaran aku. Contohnya seperti menjahit tangan, aku pasti aku pakar juga dalam menjahit tangan walau pun aku tak sehebat mana kerana aku hanya tahu jahit jelujur, kia, insang pari dan silang pangkah sahaja.
Oh ya semalam aku berjaya mengusik sebentar cat arklik dan kanvas aku. Dah 3 bulan rasanya beli tapi baru dua kali je aku sentuh. Aku rasa macam nak menjadikan aktiviti melukis dengan arklik sebagai hobi sepenuh masa, namun aku hanya mampu lakukan apabila anak-anak semua dah tidur dan kerja rumah penting sudah terlaksana.
Kembali kepada objektif Nanowrimo tadi. Apakah agaknya topik yang aku boleh tulis? Jika bercakap mengenai paling aku pakar pada masa ini dan relevan, semestinya pasal diri aku dan pengalaman menjadi ibu kepada dua orang anak. Zaman sekarang jika kau ada anak dan aktif di media sosial pastinya kau akan memenuhi ruang media sosial kau dengan kisah mengenai anak kau.
Kawan aku pernah menegur yang aku dah jadi macam ibu-ibu kebanyakan di media sosial yang sikit-sikit nak kongsi pasal anak. Aku rasa ia adalah benda semula jadi. Apabila kau jadi ibu maka kau akan menatap wajah anak kau, apabila kau membeli belah maka kau akan berfikir pasal keperluan anak kau dan juga apabila kau nak kena kerja lebih masa pada tarikh-tarikh tertentu maka kau kena berfikir pasal anak kau. Apatah lagi kalau pasangan hidup kau mempunyai kerjaya yang perlu menghabiskan masa di pejabat, maka secara default kaulah pemegang amanah Allah itu. Maka anak dalam minda, maka kisah anaklah yang akan keluar di laman sosial.
Media sosial ibarat menjadi diari umum. Sambil kau berkongsi kisah anak kau, orang lain akan melihatnya dan memberi komen. Ada jenis ibu bapa yang suka berkongsi semua gambar anak, apa sahaja aksi baru dan meanrik nak diuploadnya. Semua aksi anak nak diceritakan. Macamlah anak orang lain tidak melalui saat-saat itu juga kan. Kadangkala ada orang yang tak ada anak menyampah. Itu belum orang yang belum memiliki anak sendiri, bila buka Facebook sahaja kisah anak-anak yang dia akan jumpa. Kepada mereka-mereka ini, selalunya kalau menyampah sangat dia akan klik untuk sembunyikan kisah-kisah anak orang ini daripada timeline dia.
Kisah aku sebagai ibu beranak dua walaupun baru 107 hari banyak ksiahnya. Aku pun masih banyak cara dan kaedan menjaga anak yang perlu aku baiki, ubah dan juga amalkan perkara baru. Separuh daripada masa aku menjadi ibu kadangkala rasa seperti masih gagal dalam sesetengah aspek. Lagi2 bila dah mula kerja dan hujung minggu balik sebab sibuk ambil kelas memandu. Masa untuk anak, rumah, suami dan diri sendiri kadang tersasar daripada sasaran dalam minda. Kata nak tidur 2 jam dan bangun untuk mengepam susu (anakku masih menyusu badan), namun selalu tidur nyenyak.
Topik penulisan aku Nasi, Kicap dan Telur itu aku ambil daripada makanan yang anak aku selalu makan. Anak aku ni selalu aku bagi makan menu ni je sebab dia tak berapa arif dalam memakan sayur. Di rumah pengasuh baru dia ni pun dia jarang makan petang, jadi dia makan roti. Maka bila tiba malam dia akan minta aku masakkan nasi putih, telur goreng dan kicap. Pagi tadi masa aku dalam perjalanan pergi ke tempat kerja, aku tertarik dengan idea untuk menamakan projek nanowrimo 2014 aku ini dengan ayat itu.
Anak pertama aku sememangnya buah hati aku paling dekat di hati. Anak kedua dekat di hati jua tapi dia belum ada memori cukup lama dengan aku. Semoga aku akan membuat macam-macam memori dengan mereka berdua.
Sebagai ibu anak sulung dah masuk 3 tahun ni, aku sentiasa dilemma kerana tidak sempat mengajar dia skill pra sekolah. Kalau setakat bahagian badan macam mata, hidung, telinga, rambut dan kaki tu dia sudah faham. Ini bercerita tentang skill ABC, 123 dan warna. Semalam aku uji dia dengan bertanya dia warna merah dalam flash card tu sama dengan objek apa di dalam rumah. Dia nampaknya dah berjaya menunjukkan objek yang sama warna, cuma dia keliru warna jingga dan merah kerana hampir sama.
Tatkala anak orang lain di usia 4 tahun masuk ke taska, aku tak sedia lagi nak menghantar dia ke sana kerana tidak ada orang akan mengambilnya, silap aku juga la sebab aku tak ada lesen lagi. Maka perancangan aku untuk tahun hadapan ialah untuk menghantar dia sekali-sekala ke taska atau bawa dia ke muzium dan sebagainya. Biar dia street smart dahulu sebelum dia memasuki sistem pembelajaran formal. Hidup ini bukan mengenai pembelajaran formal sahaja. Contohnya macam masa aku tadika dahulu aku tidak tahu berlari pun. Bila kita di tadika antara aktiviti wajib akan kita masuk ialah sukaneka kan, aku ni pada awalnya berlari pun takut. Aku rasa aku berlari macam orang kidal menulis pakai tangan kanan. Aku rasa sangat pelik dan janggal.
Maka untuk anak aku ni aku nak latih dia dari segi street smart dan perkara lain, jika aku tak berpeluang untuk menghantarnya ke taska tahun hadapan. Dalam dunia ni ada pelbagai jenis industri, maka jika anak aku tak dapat masuk industri akademik, perubatan, kejuruteraan aku harap dia akan masuk ke industri seni. Dia mungkin lebih arif menggerakkan jarinya membuat kraf tangan berbanding menghafal pelbagai jenis formula matematik.
Jauh di sudut hati aku, aku mahukan juga anak aku jadi pelajar pandai sampai ada 20 A ke kan. Kerana jika banyak A maka tawaran untuk belajar dengan biasiswa itu meningkat kan. Aku pun senang hati anak aku belajar dengan biasiswa. Di sudut hati aku kesian pula bila memikirkna jika dia tak ke taska adakah dia akan ketinggalan banyak perkara berbanding rakan seusianya? Adakah aku aku kena gigih mengajar dia di rumah mulai tahun depan. Masa untuk belajar formal sudah bermula. Semi formal la. Buat masa sekarang aku suka dengan kemajuannya, cuma aku belum memperkenalkan dia kepada muqaddam. Sekurang-kurangnya dia tahu apa itu muqaddam dan al quran dan boleh menghormati kitab suci itu bila nampak.
Kehidupan ibu beranak dua ni menjadikan aku banyak menghabiskan masa di rumah. Satu kerana aktiviti di luar bersama dua budak kenit memenatkan, lagi-lagi apabila ia berlaku waktu malam. Aku juga mula membeli belah baju di Instagram, baru-baru ini aku menempah dua helai kain daripada seorang pelajar fesyen ini. Aku nak belajar jahit baju sendiri entah bila, harapannya agar tahun depanla kerana tangan aku dah gatal nak menjahit. Apabila anak sudah besar, mungkin setahun maka bolehlah aku memulakan semula aktiviti aku sebagai peniaga dengan izin suami dan jabatan ya. Maka bila tiba waktu aku bersara aku punya perniagaan yang boleh menjana pendapatan. Bayangkan aku bersara usia 56, anak aku sudah 27 tahun. Maka dia sudah boleh mewarisi perniagaan aku. Bestnya.
Wah jauh sudah aku bercakap dalam bab pertama nanowrimo aku ini. Aku harap kelancaran diea ini akan bertambah-tambah supaya aku akan dapat menjayakan nanowrimo sehingga 50000 patah perkataan. Aku harus kurangkan aktiviti melayari Internet mana yang tak perlu dan menjana lagi idea untuk memastikan cerita aku koheren sehingga bab 30. Aku ada sasaran untuk menaip sebanyak 1667 atau lebih perkataan sehari. Maka aku harap ia akan berjayalah.
Aku kagum dengan satu penulis novel ni, dia kata anak dia semua dah bersekolah. Dia memang akan memasak seawal pukul 9 pagi dan selepas habis memasak dia akan mula menulis sehingga waktu tengah hari apabila anak dia balik ke rumah. Dia kata dalam kamus hidup dia tak wujud writer's block kerana dia akan sentiasa mencatata idea yang timbul. Maknanya dia membawa buku dan pen ke mana sahaja dia pergi. Walau pun aku sudah lama tahu dengan membawa tinta dan buku nota ke mana-mana ialah perangai orang berjaya tapi aku tak buat pun. Zaman ni semua benda aku catat dalam hp, tapi itu pun jarang.
Baiklah, kepada sesiapa yang ingin tahu dan berminat nak memulakan nanworimo boleh layari nanowrimo.org. Di sana ada macam-macam aktiviti untuk anda mengembangkan idea anda, ada tips macam-macam. Aku hanya pergi ke sana untuk log in dan daftar akaun sahaja. Macam aku sibuk sangat sahaja kan tidak langsung mengambil apa-apa tips dari sana. Jika tabiat aku ini diketahui oleh orang-orang yang rajin maka mereka akan kata aku ni memang emrancang untuk gagal. Aku pantang kena komen. Hahaha.
Penulisan ialah kelancaran idea dari minda turun ke jari. Kadangkala ia akan kita lewat-lewatkan kerana dalam jadual harian kita, kita lebih suka berborak dan melayari Internet. Namun menulis boleh membuatkan kita berfikir tentang macam-macam, contohnya apabila kita mahu menulis semestinya kita akan buat brainstorming. Daripada satu idea bercambah menjadi dua, tiga dan tiga puluh. Namun keghairahan menulis juga memerlukan masa. Contohnya kini aku sudah 40 minit melekat di kerusi ini kerana mahu menaip 1667 patah perkataan. Lewat la aku ambil anak hari ini. Nasib baik hari Jumaat dan esok aku boleh meluangkan masa lebih bersama anak-anak. Ok bye.
1700 words
Mini-ManCat Monday
3 hours ago
0 comments:
Post a Comment