Pages

Nanowrimo Day 3 (1227)

Persediaan ke arah nanowrimo. Pertama sekali haruslah ada kemudahan untuk menaip. Kalau tak dapat menaip kena la menulis atas kertas. Jangan pandang remeh terhadap menulis dalam kertas ini. Tidak ada yang payahnya mengenai menulis dalam kertas ni, cuma agak leceh bila bab mengira perkataan tu. Mudah sahaja mengira, kita gunakan teknik mengira huruf begini. Pertama kira setiap barisan ada purata berapa perkataan dan lepas tu darab dengan jumlah barisan karangan korang. Katalah sebaris purata 7 perkataan, maka darabkan 7 perkataan dengan 30 baris karangan, hasilnya ialah 210 patah perkataan . Kalau ada barisan yang separuh je sebab dah habis peranggan tu maka jadikan ia 0.5 dan tambah dengan barisan seterusnya yang separuh juga panjangnya. Kira separuh dan separuh jadi sebaris. Kalau nak kira sebiji-sebiji perkataan setiap barisan itu sangatlah larat kan.

Kalau anda tidak ada word document jangan risau, yang penting ada Internet. Kalau menaip dalam notepad atau wordpad boleh copy dan paste ke dalam word counter. Word counter tu anda sila cari di Internet, ada macam-macam laman web yang mengira perkataan. Komputer aku tak ada word document maka aku taip je dalam wordpad dan aku akan salin semua dan tampal dalam word count. Selalunya aku mengambil masa 40 minit ke sejam dengan kaedah menaip tanpa henti, untuk menghasilkan sebuah karangan mengandungi 1667 patah perkataan.

Jika terlebih tak apa, tapi kalau terkurang tu tambah-tambahkan beberapa perenggan lagi. Aku agak-agak setiap perenggan lebih kurang 50 patah perkataan selalunya.  Jadi kalau terkurang 100 perkataam maka korang tambah dua perenggan. Apabila dah menulis sebanyak 1000 perkataan maka jangan risau mesti banyak ayat tambahan akan muncul.

Aku pernah menyampah baca novel cintan sebab banyak sangat dilemma watak utamanya. Nak cerita pasal kecewa sahaja 3 halaman. Macam la orang lain tak sedih, tak ditinggalkan pakwe, ni ulang-ulang kekecewaan dia sampai berlaman banyaknya. Agaknya inilah yang dikatakan oleh air mata, dika air mata boleh bercerita. Sehalaman ayat sedih sama dengan satu sesi menangis.

Setelah menaip 1667 patah perkataan kenalah periksa secara asasnya ejaan korang betul ke tidak. Aku setakat ini cek secara am sahaja ejaan, tapi jika menaip di telefon lebih mudah kerana ada pemeriksa ejaan siap-siap di bawah tu. Aku rasa tidak ada siapa pun yang larat nak memeriksa ejaan dia untuk 10 hari punya karangan. Maka sejurus setelah kau menaip, aku nasihatkan kau terus periksa siap-siap ejaan dan struktur ayat kau. Ia lebih mudah kerana kau masih segar untuk mengarang.

Seterusnya yang perlu ada untuk menyertai nanowrimo ialah masa, jika kau tidak dapat peruntukkan sejam sehari maka kau memang tidak ada masa untuk nanowrimo sebenarnya. Kau boleh peruntukkan sekali duduk sejam atau 15 minit kali empat sesi dalam sehari untuk menaip. Namun jika kita tidak ada masa langsung, kita kena la korbankan masa untuk aktiviti lain demi untuk bernanowrimo. Contohnya, macam aku ini sangat suka melayari internet sambil menyusukan anak. Aku akan korbankan aktiviti melayari Internet itu kepada aktiviti menaip nanowrimo. Mungkin juga sambil kau tunggu mesyuarat nak bermula, atau sambil mesin basuh kau ada lagi 10 minit nak habiskan mengering pakaian, kau bolehlah menaip nanowrimo. Macam aku memang sentiasa melakukan aktiviti menunggu di pejabat. Aku tunggu video siap muat naik, aku tunggu video di render dan juga menunggu info daripada sumber-sumber aku untuk datang. Selalunya setiap penantian ni  Semasa sesi menunggu yang banyak ini aku boleh luangkan dengan menjadikan ia sesi menulis / menaip nanowrimo atau mencatat idea untuk nanowrimo.

Menulis nanowrimo ini merupakan beban juga. Bayangkan nak memastikan kau kena menaip 50000 perkataan dalam masa 30 hari di samping kau melakukan aktiviti harian kau. Selepas kau habis menaip apa yang kau dapat hanya kepuasan sahaja. Bukan kau dapat apa-apa pun berbentuk ganjaran kewangan. Bagi sesetengah orang ia bukan aktiviti yang bermanfaat pun. Tapi sebagaimana setiap orang lain ada citarasa masing-masing, kepuasan bernanowrimo dan menghabiskan sebuah projek nanowrim, aku nak nikmat itu. Aku sudah gagal sebanyak 4 ke 5 kali, InsyaAllah aku akan usaha gigih tahun ini.

Bernanowrimo ini harus dianggap sebagai beban yang dicintai, walaupun agak menyusahkan dan memerlukan konsistensi, namun kerana suka, sayang dan cinta kita sanggup buat. Macam aku sekarang ini gigih menyusukan anak aku dengan susu ibu secara eksklusif. Sebenarnya menyusukan anak begini lebih leceh dan banyak masa kena dikorbankan untuk mengepam dan menguruskan peralatan menyusu. Pam nak kena basuh hari-hari dan botol sekurang-kurangnya ada 5 biji nak cuci dan steril sehari. Selalu aku balik sahaja daripada pejabat aku akan rendam botol-botol dan pam aku dengan segera. Aku akan rendam segera dalam baldi, basuh kemudian tak apa. Kalau aku rajin malam tu juga aku basuh dan kemudian terus rendam dalam air paip yang dalamnya terlarut tablet pensterilan. Jika aku tak larat aku akan cuci pada subuh esoknya.

Suami aku selalu mengusik aku dengan mengatakan lebih senang bagi susu formula juga. Sekurang-kurangnya susu formula hanya memerlukan satu botol sahaja yang perlu dicuci berkali-kali. Aku cerita mengenai kegigihan aku menyusukan anak kerana perasaannya sama dengan bernanowrimo. Rasa macam perlu mengepam tapi pada masa yang sama malas. Tapi bak kata pepatah melayu, alah bisa tegal biasa. Mula-mula sakit je rasa nak mencuci botol hari-hari, namun lama-lama akan jadi biasa.

Hasil susu aku juga bukanlah semeriah mereka yang mengepam sejak dalam pantang. Aku perlu mengepam hampir 5 kali sehari, jika aku tidak larat, maka aku akan pam 4 kali sahaja. 2 kali di pejabat, sekali selepas pulang daripada kerja (di rumah) dan sekali lagi pada awal pagi esok. Aku perlu kerap mengepam kerana sekali pam aku dapat sebotol susu sahaja walhal anak aku minum 5 botol susu sehari. Apabila aku tiba di rumah pengasuh setiap hari, dia sedang minum susu dalam botol. Setiap hari ada lebihan 3 auns susu. Apabila sang bayi itu berada dekat dengan aku memang dia tidak akan layan susu dalam botol la jawabnya. Tak apalah, aku anggap ia sebagai tiada rezeki bayiku. Apa-apapun aku akan berusaha untuk memberikan anak aku susu ibu eksklusif selama setahun kurang-kurangnya.

Semasa anak pertama dahulu aku lemah betul bab penyelenggaraan botol, namun dengan anak kedua ini aku lebih bijak sikit. Jika aku mahu sgera, aku rebus sahaja botol-botol yang botol direbus kerana ia lebih mudah. Bagi botol yang tidak boleh disteril dengan tablet steril aku bilas sahaja dan lap dengan kertas tisu sebelum dikeringkan. Aku pasti ia bersih, lagipun susu ibu ada pelbagai bahan istimewa seperti anti fungus jadi ia sudah ada sifat anti kuman itu sendiri.

Ye kamu akan membaca lebih banyak cerita mengenai penyusuan ibu kerana aku akan cuba mengaitkan ia dengan nanowrimo aku. Macam kau tengok facebook dan nampak cerita pasal anak-anak dan anak, kerana hari-hari seorang ibu akan berfikir mengenai anaknya hampir setiap kali fikirannya melayang. Bayangkan jika anda boleh melupakan anak anda buat sehari, agak-agaknya apa jadi.

Maka untuk sebulan ini nanowrimo di hati dan di jari. Tapi aku tidaklah bermimpi nanowrimo sepanjang minggu ini, aku hanya tahu aku perlu membuat catatan ringkas setiap hari untuk memastikan esok punya nanowrimo ada permulaan. Jika nak menulis dengan kertas kosong ia akan mengundang amcam-macam iklan, dan akhirnya aku akan hilang fokus. Macam makan nasi dan lauk, hari-hari aku akan analisis lauk aku. Semalam aku dah makan ikan patin, hari ini aku makan ikan keli pula, lusa aku makan ayam. Maka bagi tulat dan hari selepas tulat aku akan makan daging, sotong atau udang. Jika tidak ada aku akan makan ayam je la. Masuk minggu depan baharu aku akan makan ikan semula. Biar bersusun menu hari-hari berikutnya kerana manusia ini ada sifatnya sukakan rutin, tak perlu berfikir banyak apabila kita dah set dalam minda kita nak makan apa.

Aku rasa bagi seseorang yang menyertai Nanowrimo dengan harapan untuk menulis 50000 patah perkataan dengan berjaya agak sukar walaupun boleh dilakukan. Ini kerana mereka akan berasa seperti layang-layang sahaja apabila mereka tiada garis panduan asas nak bercerita pasal apa.

Sekian nanowrimo saya.

1 comments:

Unknown said...

kunjungan kembali
http://probibestseller10.blogspot.com/

hELLO

hELLO
:D

Followers